Kelantan boleh digantung? Itu persoalan besar mengenai masa depan bola sepak Kelantan jika kekal dengan pendirian untuk menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga M), tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, tidak menolak perkara itu mampu berlaku seperti mana dialami kelab SPA Putrajaya yang menarik diri pada 2015.

Pasukan yang beraksi di Liga Perdana itu digantung tiga musim, selain didenda RM100,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selepas menarik diri daripada persaingan musim 2016.

Namun, semuanya bergantung kepada statut terkini FAM kerana ia di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Tatatertib.

"Saya sedia maklum dengan penggantungan yang pernah FAM kenakan terhadap pasukan-pasukan yang menarik diri sebelum ini.

"Bagi saya, Jawatankuasa Tatatertib FAM mungkin akan merujuk terhadap kes yang pernah terjadi," katanya.

Bagi perjalanan liga musim depan, Kevin akan cuba memperbaiki sistem sedia ada berikutan terdapat isu pemain yang digantung, namun diturunkan beraksi.

Ia termasuklah menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan setiap wakil pasukan yang bertanding di Liga M.

"Kami akan menggunakan sistem automatik musim depan dengan memperkenalkan perisian yang membolehkan setiap pasukan itu membuat semakan (status pemain)."