Janji tinggal janji, gaji tak dapat lagi.

Aidilfitri tahun ini mungkin paling suram buat barisan pemain dan pegawai pasukan Kedah kerana hilang sumber pendapatan selepas mereka masih tidak dibayar gaji oleh pihak pengurusan, dipercayai berpunca daripada krisis politik di negeri itu.

Dugaan Ramadan tahun ini cukup besar buat barisan pemain dan pegawai pasukan Lang Merah selepas masalah politik dalam negeri itu menyulitkan isu tunggakan gaji yang wujud sejak Februari lalu.

"Saya harap perkara ini tidak menjejaskan moral pasukan dan paling penting, kami mengharapkan sesiapa yang akan menjaga skuad bakal memberi sokongan 100 peratus," kata pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Sebelum ini, skuad Lang Merah dijanjikan untuk menerima baki 70 peratus gaji Februari, hujung minggu lalu dan disusuli gaji Mac serta April sebelum Aidilfitri, namun ia sekadar omong kosong oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Saya yakin pihak kebajikan KFA akan lakukan yang terbaik serta membuat keputusan dengan cara terbaik. Apa yang kami harap, menjelang raya akan ada sesuatu yang menggembirakan," ujar penggempur Kedah, Zaquan Adha Abdul Radzak.

"Tiga bulan sememangnya satu situasi yang sukar. Semua harus faham situasi tetapi kami mempunyai keluarga dan memerlukan wang. Apa yang boleh kami lakukan adalah berdoa dan mengharapkan seseorang hadir untuk menyelesaikan situasi ini," tambah rakan gandingannya, Kpah Sherman.