Jabatan Undang-Undang, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berada dalam dilema ekoran bantahan terbaru melibatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PDRM FA yang memungkinkan The Cops terselamat daripada terjerumus ke Liga Perdana.

PDRM mengesahkan telah mengemukakan bantahan di atas kesilapan JDT menurunkan pemain yang menjalani penggantungan, iaitu Juan Martin Lucero, pada Ogos lalu.

Lebih merumitkan, Jabatan Undang-Undang FAM yang terlepas pandang dan pihak JDT sendiri menegaskan mereka tidak menerima sebarang surat yang mengesahkan Lucero tidak boleh diturunkan sebelum perlawanan.

Dalam kes terdahulu, keputusan FAM memberikan kelebihan buat Pahang yang juga berhadapan dengan situasi sama, dan FAM sendiri perlu jelas, sebarang keputusan daripada mereka bakal memberikan impak yang cukup besar.

Jika bantahan ini diterima, banyak pihak akan terkena tempiasnya.

Selain PDRM akan terselamat dalam Liga Super, rekod tanpa kalah JDT pula sudah tidak lagi relevan dan bagaimana pula dengan nasib Pulau Pinang yang sudahpun meraikan kejayaan mereka terselamat daripada penyingkiran ke Liga Perdana?

"Untuk berlaku adil dan mengelak masalah ini daripada berlarutan, secara teknikalnya kes melibatkan PDRM-JDT perlu diberikan perhatian.

"Ini kerana FAM telah membuat keputusan terhadap Pahang tempoh hari.

"Untuk pasukan PDRM, adalah adil untuk diberikan perhatian juga. Kalau kes ini benar-benar berlaku, secara teknikalnya PDRM berhak diberikan kemenangan tersebut dan tiga mata perlu diberikan," kata bekas tonggak negara, Asmawi Bakiri.

Pemerhati bola sepak, Datuk Richard Scully, berpendapat FAM perlu tampil memberikan penjelasan sebenar biarpun perkara ini belum lagi diputuskan.

"Satu penjelasan yang terperinci daripada pihak FAM adalah perlu untuk menjelaskan bagaimana perkara ini terjadi supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan persepsi bercanggahan," katanya.