Sinar baru menjelang sambutan Aidilfitri buat barisan pemain dan pegawai pasukan Kedah apabila peruntukan sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan untuk menyelesaikan jumlah tertentu tunggakan gaji skuad Lang Merah.

Khabar gembira itu diumumkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Md Aris, tatkala pelepasan jawatannya dalam persatuan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Kami akan buat sidang akhbar kelak.

"Tiga hari lalu, kami telah lunaskan RM500,000 selain pada hari yang sama menteri besar juga meluluskan peruntukan RM1.5j untuk melangsaikan hutang gaji kepada pemain.

"Saya usulkannya kepada presiden KFA dan ia telah diluluskan.

"Jadi terpulang kepada kerajaan baru negeri kerana mereka kena bayar sebab ia telah diluluskan," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan pemain dan pegawai skuad Hijau Kuning berdepan sambutan Aidilfitri paling suram berikutan masih tidak menerima gaji penuh sejak Februari lalu.

Dipercayai berpunca daripada krisis politik di negeri itu, perkembangan berkenaan sedikit sebanyak melegakan mereka walaupun peruntukan tersebut tidak melibatkan pembayaran gaji untuk bulan lalu dan bulan ini.

"Saya minta ia diselesaikan sebelum Hari Raya (Aidilfitri), cuma jumlah RM1.5j itu mungkin mengambil sedikit masa berkenaan prosesnya.

"Jadi pengurusan lama telah menyelesaikan tunggakan sebelum ini."