Isu FAS-PKNS perlu ada kata putus segera demi kebajikan pemain -- PFAM

Oleh Shaiful Shamsudin 29 November 2016 3
 Isu FAS-PKNS perlu ada kata putus segera demi kebajikan pemain -- PFAM
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar, berharap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dapat menyelesaikan kemelut dengan PKNS FC dengan baik demi kebajikan pemain. 

Selaku persatuan yang memperjuangkan hak pemain, Hairuddin berharap masalah itu tidak berlarutan sehingga menjejaskan kerjaya pemain. 

Selain pemain dalam skuad Liga Malaysia (Liga M) PKNS, Hairuddin turut menyuarakan kerisauan terhadap pemain dalam skuad Piala Presiden dan belia kelab itu jika mereka tidak dibenarkan beraksi musim depan. 

Bagi bekas penyerang kebangsaan itu, PKNS adalah antara kelab yang tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain dan komited dalam program pembangunannya. 

"Saya harap FAS ataupun PKNS dapat memuktamadkan hala tuju mereka pada musim depan supaya pemain yang berada dalam pasukan PKNS dapat membuat keputusan dengan segera.

"Andai PKNS tidak dapat bermain dalam liga, maka pemain PKNS mempunyai masa untuk mencari pasukan-pasukan lain," katanya.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu. 

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen