Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memberi tempoh sehingga 30 November ini -- tarikh akhir pengesahan penyertaan pasukan ke Liga Malaysia -- buat PKNS FC berhubung status penyertaan mereka selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak lagi memberi sokongan kepada penyertaan kelab itu musim depan.

Status penyertaan PKNS FC menjadi antara agenda perbincangan mesyuarat Lembaga Pengarah FMLLP pada Isnin.

Selaku ahli gabungan FAS, kelab itu perlu mendapat sokongan persatuan bagi beraksi musim depan, mengikut peraturan pertandingan 4.1.3 (I).

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, masih optimis isu penyertaan PKNS dapat diselesaikan secara baik dengan FAS.

"Isu ini kami rasa akan diselesaikan dalam tempoh dua hari lagi. Kami yakin isu ini tidak akan berlarutan sebelum tarikh pendaftaran pengesahan pasukan dalam Liga M musim depan," jelasnya.

Kevin mengakui pengurusan PKNS juga masih bersikap profesional menangani isu ini dan ia menjadi satu kerugian jika kelab itu tidak lagi dalam saingan Liga Malaysia memandangkan mereka turut komited dalam program pembangunan.

"PKNS cukup profesional dalam mengurus pasukan mereka, apatah lagi mereka telah berbelanja besar dalam akademi bola sepak.

"Jadi, ia akan menjadi kerugian besar jika pasukan seperti PKNS tidak dibenarkan beraksi," tambahnya.

Dalam pada itu, FMLLP juga masih tidak dapat memberi sebarang kepastian berhubung status DRB-Hicom walaupun kelibat mereka untuk saingan musim depan tampak semakin samar akibat kekurangan dana.

Kata putus, bagaimanapun, akan hanya diketahui lusa.