Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memohon penjelasan berhubung keputusan badan induk itu menolak rayuan yang membabitkan jumlah pampasan pemain muda Lang Merah, Akhyar Rashid.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata surat yang akan dihantar minggu depan itu bertindak untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati KFA terhadap keputusan FAM yang dilihat tidak adil dalam menangani isu tersebut.

"Isu sekarang ialah kami (KFA) tidak berpuas hati dengan cara mereka (FAM) menangani isu itu.

"Keputusan dibuat tanpa mendengar sebarang penjelasan daripada pihak KFA.

"Disebabkan itu, kami akan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) untuk menuntut keadilan.

"Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, juga mengingatkan supaya jangan biarkan ada pihak yang membuli kami.

"Atas sebab itu, keputusan untuk membawa perkara tersebut ke CAS akan dibuat dalam masa terdekat kerana mahu perbetulkan apa yang tidak betul," katanya.

Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah berkata selagi perkara tersebut tidak selesai, Akhyar yang masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 perlu turun menjalani latihan bulan depan.

Sebelum ini, KFA telah mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM yang bermesyuarat semalam mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA dan boleh berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan barunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.

-- BERNAMA