Isu Akhyar: FAM tolak rayuan KFA

Oleh Staff Writer 27 Disember 2018 6267
Isu Akhyar: FAM tolak rayuan KFA
Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi mesyuaratnya hari ini memutuskan rayuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkenaan penamatan kontrak seperti yang dimohon pemain tengah, Akhyar Rashid, melalui tebus kontrak, ditolak badan induk itu.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Status FAM melalui mesyuarat pada 3 dan 4 Disember lalu, tuntutan Akhyar untuk menamatkan kontraknya melalui tebus kontrak diterima sepenuhnya jawatankuasa itu.

Pemain tengah kebangsaan itu dibenarkan untuk menebus kontraknya dengan KFA melalui bayaran tebus kontrak RM210,000.

Sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan baru yang menandatangani kontrak dengan pemain Akhyar dikehendaki membayar RM75,000 kepada KFA sebagai nilai pampasan latihan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan FAM sebentar tadi, jumlah nilai pampasan yang ditetapkan itu bukanlah diletakkan secara sewenang-wenangnya tetapi ia berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.

Jumlah RM210,000 itu berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA.

Ia berdasarkan Artikel 15A FAM berkaitan penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

Jumlah RM75,000 itu pula berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengikut Artikel 8 badan induk itu: "Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM."

Jumlah RM75,000 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan buat KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak.

Secara keseluruhan, KFA akan menerima RM285,000.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen