Pemain sayap PKNS FC, Nurridzuan Abu Hassan, mengakui kini bermotivasi tinggi untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018 selepas mendirikan rumah tangga, minggu lalu.

Bagi pemain berasal dari Perak itu, isterinya adalah dorongan utamanya untuk mempamerkan aksi lebih baik musim depan selepas prestasi sedikit merundum bersama Pahang, musim ini.

Nurridzuan diijabkabulkan dengan pasangan yang dikenali sebagai Nurul Atiqah di Ipoh pada Sabtu lalu.

"Saya lebih fokus sekarang. Selepas selesai majlis (perkahwinan), saya berasa lebih tenang. Mungkin apabila mendirikan rumah tangga, isteri banyak memberi semangat sebab tahun ini prestasi saya agak jatuh.

"Insya-Allah sokongan yang diberikan isteri meningkatkan moral saya," ujarnya yang turut mengakui selesa bersama Semut Merah untuk menghadapi saingan musim depan sambil menyifatkan pasukan barunya itu mempunyai barisan seimbang untuk memberi saingan hebat.

Dalam perkembangan lain, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, masih belum memutuskan senarai awang import pasukannya walaupun sudah dua minggu menguji beberapa calon.

Keutamaan bekas pengendali kebangsaan itu adalah membuat pilihan tepat bagi pemain yang mampu memberi kesan positif.

"Sebelum ini, kita tahu sejauh mana tahap pemain import PKNS dan kalau boleh, kami mahukan pemain yang lebih baik dari tahun ini," kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.