Irfan nanti kepulangan bekas pemain

Oleh Tengku Danish Bahri 5 Disember 2017 4612
Irfan nanti kepulangan bekas pemain
Seorang lagi pemain tempatan diintai Terengganu FC (TFC) I bagi memantapkan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, mengesahkan sedang berunding dengan pemain yang juga bekas anak didiknya itu bagi melengkapkan senarai penuh skuad TFC I.

Irfan, bagaimanapun, belum mahu mendedahkan identiti pemain yang beraksi di bahagian serangan itu.

“Masih ada pemain sedang menyelesaikan beberapa perkara dengan pasukan lama sebelum mereka mula turun menjalani latihan.

“Saya turut menanti kehadiran seorang lagi tonggak tempatan yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Jurulatih berpengalaman itu ditemui selepas sesi latihan pertama, semalam, yang menyaksikan kelibat beberapa muka baharu memperkuatkan TFC I selain pemain-pemain yang dikekalkan.

Antaranya bekas ketua pasukan Kuantan FA, Abdul Malik Mat Arif, Wan Azraie Wan Teh, Kamal Azizi Zabri sambil diperhatikan dua pemain import baharu, Thierry Chantha Bin dan Kim Hyun-woo.

Menjadi antara pasukan terawal melengkapkan pasukan, Irfan enggan terburu-buru meletakkan tekanan kepada barisan bimbingannya.

“Masa masih panjang lagi dan minggu pertama ini lebih kepada memupuk semangat dalam pasukan,” tambahnya.
 

Tentang Penulis

 Tengku Danish Bahri

Komen