Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, memberi amaran awal membabitkan pemain import Terengganu bahawa hanya prestasi cemerlang menjadi syarat untuk mengisi kesebelasan utama TFC musim depan.

Tanpa nama nama besar membabitkan pemain tempatan, Irfan mengakui kekuatan utama Terengganu tergalas sepenuhnya di bahu lima import yang diberikan kepercayaan musim depan.

Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic, Thierry Chanta Bin dan Kim Hyun-woo menjadi sandaran utama TFC untuk kemunculan semula dalam saingan Liga Super 2018.

Tegas Irfan, walaupun TFC masih dibarisi nama-nama lama, namun beliau membayangkan Tchetche akan memainkan watak penting mengetuai pasukan.

"Kapten tidak seharusnya diletakkan sebagai pemain tempatan, saya memilih Tchetche kerana dia memiliki sifat kepimpinan yang baik di atas padang," katanya.

Tambah Irfan, sasaran utama TFC bagi musim 2018 adalah berada dalam kelompok tiga terbaik Liga Super selain mara ke final Piala FA.

"Kami telah berjaya mara ke separuh akhir musim lalu, jadi kami mahu memperbaiki prestasi tersebut," tambahnya.