Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akhirnya menghela nafas lega selepas Irfan Bakti Abu Salim bersetuju untuk kembali ke pangkuan pasukan itu sebagai ketua jurulatih baharu menghadapi Liga Perdana, musim depan.

Magis Irfan yang juga pengendali terakhir membawa Terengganu mengecapi kejuaraan, iaitu Piala FA pada 2011, sememangnya ditagih selepas prestasi merosot pasukan itu yang menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot.

“Saya telah memuktamadkan keputusan ini selepas perbincangan terakhir yang diadakan bersama pihak pengurusan tertinggi PBSNT semalam.

“Satu keputusan positif berjaya dicapai dalam pertemuan itu dan perbincangan kedua-dua belah pihak juga melihatkan perkembangan yang baik, jadi saya bersetuju dengan tawaran untuk membimbing Terengganu pada 2017.

“Semuanya berjalan lancar dan telah selesai. Saya akan memulakan tugas secara rasmi, Disember ini.

“Ini adalah keputusan yang tepat meskipun Terengganu beraksi dalam Liga Perdana dan saya akan berusaha untuk mengangkat kembali pasukan ini ke kancah Liga Super.

“Sekarang tumpuan sedang diberikan kepada proses mencari dan menilai pemain-pemain untuk menyarung jersi Sang Penyu.

“Saya sedia maklum ramai pemain yang akan ‘angkat kaki’ tetapi itu bukan masalah besar kepada saya dan hanya pemain yang mempunyai hati untuk Terengganu akan dipilih,” jelas Irfan.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat, menyerahkan sepenuhnya kuasa pemilihan pemain tempatan dan import di tangan ketua jurulatih itu sambil menolak untuk masuk campur urusan teknikal pasukan.

“Pihak kami memberi sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada ketua jurulatih dalam memilih pemain terbaik untuk pasukan ini.

“Tidak akan ada sebarang campur tangan dan kami hanya menguruskan pasukan ini, selebihnya adalah tugas ketua jurulatih,” ujar Rozi.