Pengendali baharu Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, bertekad mahu memastikan kualiti pemain import baharu pasukan itu berada pada kelas tersendiri bagi menghadapi saingan Liga Perdana 2017.

“Beberapa calon kini dalam pemerhatian dan telah dikenal pasti, iaitu setiap seorang di bahagian pertahanan, tengah dan serangan.

“Namun, saya enggan mereka ini sekadar mengisi kuota pemain import semata-mata, sebaliknya kualiti pemain-pemain ini harus jauh lebih baik daripada pemain sedia ada untuk menambah bisa skuad Terengganu.

“Saya sendiri akan pergi ke luar negara dalam masa terdekat untuk melihat kebolehan dan corak permainan pemain yang dikehendaki.

“Pembantu jurulatih baharu, Mohd Nafuzi Zain, juga kini telah berada di Tashkent, Uzbekistan bersama pegawai pasukan untuk membuat penilaian lebih dekat.

“Tidak dinafikan antara calon pemain import baharu adalah seperti yang tercatat dalam senarai pemain yang tersebar, baru-baru ini. Namun, untuk mengatakan Terengganu berjaya mendapatkan mereka adalah tidak benar.

“Semuanya masih dalam rundingan, malah pemain-pemain yang masih berbaki setahun dalam kontrak mereka bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) juga belum tentu akan bersama kami musim depan.

“Ini termasuklah Issey Farran-Nakajima di mana saya masih belum membuat keputusan dan enggan memberi komen kerana akan berbincang dengan PBSNT terlebih dahulu,” tambah bekas ketua jurulatih Felda United itu.