"Kami bagi gol mudah kepada Perak," kata ketua jurulatih Terengganu, Mohd Nafuzi Zain, susulan kekalahan 1-3 dalam aksi pertama Liga Super, malam tadi.

Sambil meminta maaf kepada 25,000 penyokong Terengganu, Nafuzi berkata awal permainan didominasi pasukannya yang mendahului menerusi Sanjar Shaakhmedov.

Momentum kemudian berubah selepas Guilherme De Paula menyudahkan sepakan penalti dan Nafuzi mengakui Terengganu agak tertekan menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua, Perak menambah dua lagi gol hasil tandukan Shahrul Saad manakala De Paula memanfaatkan kesilapan tuan rumah untuk gol kedua peribadi dan ketiga Perak.

"Pemain cuba untuk bangkit, namun gol kedua dan ketiga Perak melemahkan semangat Terengganu.

"Gol ketiga mereka memang kesilapan kami dan itulah bola sepak, kita akan dihukum jika buat silap," katanya lagi.

Ditanya mengenai penampilan sulung tiga pemain import, Babacar Diallo, Faris Ramli dan Dominique Da Sylva, Nafuzi berharap mereka mengambil iktibar daripada kekalahan itu dan bekerja lebih keras.

"Saya dah beritahu aksi kompetitif tidak sama dengan perlawanan persahabatan.

"Malam ini (semalam) nampak mereka menghadapi kesukaran dan beraksi dalam keadaan tertekan," tambahnya.