Indra sedia galas tugas kapten Kuala Lumpur

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2017 2503
Indra sedia galas tugas kapten Kuala Lumpur
Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, memberi bayangan bahawa dia sedia memberi peranan ketua pasukan kepada pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin, bagi mengharungi musim baru Liga Malaysia.

Walaupun baru sahaja menyertai pasukan tersebut, karakter yang dimiliki Indra jelas sesuatu yang dimahukan oleh pengendali itu.

Berdasarkan pengalaman luasnya dalam kancah Liga Malaysia sejak 1998, kehadiran Indra pasti dihormati rakan sepasukan, terutama pemain muda.

Jelas Fabio, kehadiran Indra serta seorang lagi pemain, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, sememangnya aset penting pasukan, khususnya untuk mengharungi Liga Super.

"Sesetengah orang tanya saya kenapa mengambil Indra yang veteran. Tidak. Tiada masalah. Dia veteran tetapi dia berlari. Dia boleh melakukan tugas dengan baik. 

"Bagi saya, tiada masalah pemain itu berusia 36 atau 18 tahun. Jika melakukan dengan baik dalam latihan, dia boleh bermain. Itu sebab saya mungkin menggunakannya sebagai kapten," katanya.

Selepas ditanya mengenai hasrat Fabio melantiknya selaku ketua pasukan, bekas pemain Kelantan itu mengakui dia sedia memikul tanggungjawab berkenaan.

Tambahan tugas itu bukan sesuatu yang asing buat dirinya kerana pernah memikul watak itu ketika mewakili beberapa pasukan dalam Liga Malaysia.

"Insya-Allah saya sentiasa bersedia. Daripada segi pemilihan ketua pasukan, itu bergantung kepada jurulatih dan pengurusan. Saya selalu menerima tanggungjawab yang diberikan," ujar Indra.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen