Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, tidak menyembunyikan kegembiraannya selepas skuad The Red Warriors berjaya mengekalkan tempat dalam saingan Liga Super 2018.

Pemain berusia 36 tahun itu mengakui kejayaan untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi itu memberi makna besar walaupun gergasi Pantai Timur itu berdepan banyak masalah, terutama melibatkan pihak pengurusan tahun ini.

“Alhamdulillah, ini merupakan satu penghargaan kepada semua pemain, khususnya untuk penyokong pasukan Kelantan,” kata Indra.

Turut meluahkan kelegaan adalah rakan sepasukan, Norfarhan Muhammad, selepas penyerang berusia 32 tahun itu turut beraksi ketika membenam cabaran Melaka United 3-1 di Stadium Hang Jebat.

“Ini adalah hasil kerja keras pemain-pemain serta suntikan semangat dan motivasi yang diterima daripada pihak pengurusan.

"Jadi kemenangan pada malam ini adalah hadiah daripada kami untuk Kelantan kekal dalam saingan Liga Super,” ujar Norfarhan.