Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, tidak menafikan urusan untuk menukar status pemain import Selangor, Ifedayo Olusegun, kepada pemain kuota Asia sedang berjalan.

Ia selepas penyerang Nigeria itu difahamkan sedang dalam proses untuk mendapatkan pasport Bahrain.

Jika perkara itu berlaku, Selangor dapat mendaftarkan pemain itu untuk mengisi kuota pemain import Asia dan baki satu kuota lagi dapat digunakan untuk mendapatkan pemain dari benua lain.

"Ada kemungkinan untuk Ifedayo diletakkan dalam kuota import pemain Asia tetapi belum ada apa-apa pengesahan buat masa ini," katanya kepada Nadi Arena.

"Kerana ia terpulang kepada pihak Ifedayo dan ejennya. Dengan itu nanti, Selangor berkemungkinan mempunyai lebih kefleksibelan untuk mencari pemain import.

"Proses itu sudah bermula tetapi masih belum ada apa-apa kepastian kerana kami masih ada masa untuk mendaftarkan pemain.

"Tetapi jika anda tanya saya, saya berharap ia dapat berlaku kerana kami akan mendapatkan lebih kefleksibelan.

"Jadi sekarang ini, kami sedang menunggu pihak Ifedayo dan jika betul dia boleh diletakkan dalam kuota Asia, Alhamdulillah, dan jika tidak, kami perlu melupakan perkara itu," katanya lagi.