Ifedayo lengkapkan kebangkitan Selangor di Likas

Oleh Ammar Hakim 4 September 2020 1202
Ifedayo lengkapkan kebangkitan Selangor di Likas

SABAH 1 SELANGOR 2

Anak buah B. Sathianathan, berjaya mencatatkan kemenangan kedua mereka di pentas Liga Super 2020, selepas dua jaringan Ifedayo Omosuyi melengkapkan kebangkitan Selangor untuk mengatasi Sabah 2-0  di Stadium Likas, sebentar tadi. 


Selangor berjaya mencipta peluang seawal minit kedua. Tolakan Brendan Gan berjaya mencari Syahmi Safari di sayap kanan, namun hantaran lintang yang dilakukan Syahmi gagal disudahkan oleh penyerang The Red Giants, Rufino Segovia.

Lima minit selepas itu, giliran Sabah pula untuk melancarkan serangan, Randy Baruh menerima bola dengan kemas di bahagian kanan, namun hantaran yang dilakukan ke dalam kotak penalti Selangor berjaya ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol, Khairul Azhan.

Brendan kemudiannya berjaya membaca pergerakan Rufino sebelum melancarkan hantaran jauh ke arah penyerang Sepanyol tersebut namun percubaannya pula meliar dan gagal mendatangkan sebarang masalah kepada penjaga gol Sabah, Wan Azraie Wan Teh.

Rentak perlawanan jelas meningkat pada babak kedua. Pada minit ke-53, Ifedayo hampir membuka tirai jaringan dengan percubaan cantik daripada luar kotak penalti. Namun percubaan beliau terkena palang gol,

Tidak lama selepas selangor gagal memanfaatkan peluang tersebut, Sabah berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan. Rodoljub Paunovic, yang dibawa masuk sebagai pemain gantian hanya seminit sebelum itu, menghasilkan percubaan deras menembusi gawang pada minit ke-65. 

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan Sabah tidak bertahan lama. Pada minit ke-71, kesilapan penjaga gol skuad Tambadau, Wan Azraie, menghadiahkan peluang kepada Ifedayo dan penyerang Nigeria itu mudah melorongkan bola ke dalam gawang gol untuk menyamakan kedudukan buat skuad Red Giants.

10 minit kemudian, Ifedayo sekali lagi muncul wira Selangor. Kali ini, beliau menerima bola di dalam kotak penalti, membuka ruang untuk diri sendiri, sebelum menjaringkan gol kelima beliau di pentas Liga Super musim ini, untuk membantu skuad Red Giants mengutip tiga mata berharga di Kota Kinabalu. 

Keputusan lain:

Liga Super

JDT 7 PERAK 0

MELAKA 1 TERENGGANU 0

Liga Perdana

SARAWAK UNITED 0 UKM 0

PULAU PINANG 2 NEGERI SEMBILAN 0

KELANTAN UNITED 0 KUALA LUMPUR 2

Imej: FB FA Selangor

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen