Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, bertegas tidak akan meletakkan jawatan.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan semata-mata atas desakan penyokong.

"Saya yakin isu ini akan diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

"Saya tidak melakukan sebarang kesalahan besar atau mencuri.

"Malah, saya sudah mengemukakan permohonan maaf saya," katanya kepada pemberita selepas bersemuka dengan sekumpulan ketua kelab penyokong yang hadir untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadapnya.

Kumpulan yang didakwa terdiri daripada ketua 10 kelab hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi tadi.

Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi itu dalam perjalanan ke pejabatnya keluar dari kereta untuk bersemuka dengan kumpulan itu.

Beliau berkata kumpulan itu berhak untuk menyatakan bantahan dan menyuarakan pandangan mereka.

"Saya tidak ada masalah untuk meneruskan tugasan saya kerana mendapat sokongan daripada exco PAFA.

"Mereka berhak membuat bantahan tetapi saya berpegang kepada perlembagaan PAFA yang menetapkan Exco mempunyai kuasa besar untuk menentukan kedudukan seseorang dalam persatuan ini.

"Selagi saya tidak menerima desakan atau undi tidak percaya daripada mereka, saya akan teruskan tugasan ini," katanya.