Walaupun menjadi pemain paling muda dalam pasukannya, pertahanan Selangor, Harith Haikal Adam Afkar, enggan menjadikan faktor itu sebagai halangan untuk merebut tempat dalam skuad utama The Red Giants itu.

Bagi merealisasikan impian itu, pemain berusia 18 tahun berkenaan bertekad untuk memberikan komitmen penuh dalam latihan.

Ia bagi membuktikan kesungguhannya dalam menghabiskan baki saingan Liga Super musim ini sebagai pemain utama pasukan itu.

Sebelum ini, Harith Haikal didaftarkan dalam skuad Selangor II, namun dinaikkan ke dalam skuad utama selepas menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan dan saingan Liga Perdana.

"Memang saya paling muda dalam pasukan tapi bagi saya, umur itu cumalah nombor semata-mata.

"Kalau saya bagus, Insya-Allah saya dapat main tapi yang penting, saya perlu kerja sangat keras untuk tunjuk kepada jurulatih Sathia (B. Sathianathan) bahawa saya lebih bagus daripada pemain-pemain senior yang ada dalam skuad ini.

"Apa yg saya harus buat, saya perlu bekerja keras dalam setiap latihan supaya jurulatih Sathia nampak dan dia akan beri peluang kepada saya. Itulah yang saya perlu buat ketika ini," katanya.

Selain itu, semangat Harith Haikal turut membara untuk membantu Selangor mencapai zaman kegemilangannya seperti yang pernah dilakar sebelum ini.

"Perkara pertama yang saya nak adalah mencapai sesuatu, nak dapat piala dengan Selangor. Sudah pasti nak kembalikan kegemilangan Selangor yang dahulu supaya Selangor lebih dikenali di Malaysia dan Asia. Itu tujuan saya bermain dengan Selangor," tambahnya.

Untuk rekod, Harith sebelum ini merupakan produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor dan berada dalam skuad B-19 negara dalam Kejohanan AFF B-18 tahun lalu.

Tandukannya pada minit terakhir aksi separuh akhir bertemu Indonesia membantu Malaysia ke final sebelum tewas tipis kepada Australia.