Harapan Sarawak kekal Liga Super masih ada, Posa enggan angkat bendera putih

Oleh Rudi Affendi Khalik 29 November 2017 1454
Harapan Sarawak kekal Liga Super masih ada, Posa enggan angkat bendera putih
Meskipun di atas kertas Sarawak bakal beraksi dalam Liga Perdana musim depan, skuad Bujang Senang itu masih tidak berputus asa dengan membuat rayuan agar dikekalkan dalam Liga Super.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, berkata pihaknya masih menaruh harapan agar peluang diberikan susulan perkembangan terkini yang menyaksikan skuad T-Team tidak akan beraksi dalam Liga Super.

"Peluang masih terbuka dan pada minggu lalu, rombongan pimpinan FAS telah menghadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk mengemukakan rayuan.

"Sarawak tidak akan mengalah dalam perlumbaan merebut slot itu," katanya.

Hasil perbincangan itu, Posa percaya peluang masih terbuka andai FAM menerima rayuan Sarawak.

"Kami selama ini mempunyai hubungan baik dengan FAM. Cukup profesional. Justeru, jika mereka boleh menerima rayuan Felda United, tidak adil untuk mereka mengetepikan rayuan kami," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sehubungan itu, katanya selagi keputusan akhir belum diputuskan, selagi itulah Sarawak akan merayu.

Sarawak dan Pulau Pinang merupakan dua pasukan yang diturunkan ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki dua tempat tercorot Liga Super musim ini.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen