Hanya mahu kekal dalam Liga Super -- Bernhardt

Oleh Staff Writer 2 Januari 2020 2023
Hanya mahu kekal dalam Liga Super -- Bernhardt
Hanya mahu kekal dalam Liga Super, kata ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, mengenai sasaran pasukan itu dalam penampilan sulung Liga Super bulan depan.

Bernhardt dilantik sebagai jurulatih pasukan itu bagi menggantikan Ismail Zakaria, yang dikatakan tidak bersetuju dengan hala tuju pasukan institusi pengajian tinggi itu.

Tanpa sebarang nama besar dalam pasukannya dan masih menguji beberapa pemain import, jurulatih itu mengakui ia sasaran paling realistik untuk diletakkan.

Biarpun masih belum mengenali pemainnya, jurulatih berbangsa Jerman itu bertuah kerana seorang lagi bekas pengendali pasukan itu, Wan Mustaffa Wan Ismail, akan membantunya sebagai penolong jurulatih.

"Saya fikir tugas utama saya adalah untuk memastikan kami kekal dalam Liga Super, tidak lebih daripada itu.

"Saya fikir kami boleh mencapainya kerana hanya perlu mendapatkan mata dalam beberapa perlawanan.

"Kami akan membina pasukan yang baik.

"Ketika saya tiba di sini, kami baru sahaja menandatangani tujuh pemain baru, jadi ia hampir sama seperti ketika bersama skuad kebangsaan beberapa tahun lalu," katanya.

Sebagai rekod, Bernhardt sebelum ini pernah mengendalikan skuad B-23 negara pada 2015 sebelum dipecat dua tahun kemudian. 

"Kami sedang mengusahakannya (mendapatkan pemain import) tetapi buat masa ini, kebanyakan pemain kami adalah pemain tempatan.

"Ada antara mereka yang sudah mula belajar di sini, jadi kami masih mencapai matlamat untuk menggunakan pelajar dalam pasukan ini," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen