Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Hamidin Mohd Amin, bersedia bersemuka dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menyelesaikan kemelut isu pendaftaran PKNS untuk menyertai Liga Malaysia.

Beliau berharap Azmin dan FAS mampu menemui titik penyelesaian agar PKNS dapat beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan memandangkan masa semakin suntuk.

Bukan bermaksud mahu masuk campur, Hamidin meluahkan hasrat untuk berjumpa kedua-dua pihak demi memastikan kelancaran Liga Malaysia tidak terganggu.

Hamidin, bagaimanapun, akan menunggu terlebih dahulu perkembangan terbaharu kerana PKNS diberikan peluang hingga Jumaat ini oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

“Saya akan cuba memastikan bola sepak diberikan keutamaan. Jika masih gagal mencapai jalan penyelesaian, saya akan bertemu Menteri Besar Selangor untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” ujar Hamidin.

Hamidin tidak menolak kemungkinan PKNS boleh meminta sokongan daripada persatuan bola sepak negeri lain seperti Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) jika FAS terus berdegil.

Namun, sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, beliau berpendapat lebih wajar PKNS bernaung di bawah FAS.

"Saya yakin FAS dan PKNS dapat menyelesaikan isu ini sebelum menghadapi musim 2017,” tambahnya.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.