Hilang ramai rakan, termasuk Ronny Harun dan tiga bintang muda, Tommy Mawat Bada, Nur Shahmie Iszuan dan Shreen Tambi, tidak akan melemahkan semangat skuad baharu Sarawak.

Itu janji pemain veteran, Mohd Hairol Mokhtar, dalam menghadapi musim baharu kurang 50 hari lagi.

Hairol, 33, mengakui memang berat untuk bermula semula dari bawah, namun itu lumrah alah bisa tegal biasa bagi pemain bola sepak.

" Yang penting kita kekal fokus," katanya.

Hairol yang beraksi di benteng tengah mula berada dalam skuad Bujang Senang sejak tahun 2009 susulan kecemerlangannya beraksi dalam Piala Sarawak pada tahun sebelumnya.

Terkenal dengan asakan keras dan pantas, Hairol mengakui bahawa dia ada dirisik oleh beberapa kelab dari luar Sarawak pada musim depan.

"Saya menolaknya dengan baik kerana saya memang tidak berhasrat untuk keluar dari pasukan ini.

"Saya akan terus berkhidmat untuk Sarawak selagi kudrat saya diperlukan," ujarnya lagi.

Dengan ketiadaan Demerson Bruno Costa dan Ronny, Hairol akan memikul beban mengepalai kubu pertahanan bersama-sama pemain lain termasuk Dzulazlan Ibrahim selain pemain muda Jimmy Raymond dan Rodney Celvin Akwensivie.

Rodney atau Bonai, 21, pemain berbakat kacukan Malaysia-Ghana dikatakan sedang diintai Datuk K Rajagobal untuk skuad baharunya, PKNS FC.