Pemain sayap PKNP FC, Mohd Hafiz Ramdan, mahu membalas kepercayaan jurulatih dan kelabnya dengan mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam kempen Liga Super musim depan.

Pemain itu, yang patah dua tulang bahu ketika perlawanan liga menentang Kuala Lumpur di Stadium Selayang, Ogos lalu, kini lebih bersedia membalas kepercayaan yang diberikan.

"Musim lalu saya hanya pemain pinjaman daripada pasukan Perak tetapi kini saya telah diberi kepercayaan dan telah mengikat kontrak selama dua tahun di sini (PKNP)," katanya.

Sebelum dilanda kecederaan, Hafiz telah menjaringkan empat gol untuk PKNP dalam kempen Liga Malaysia.

"Saya sempat bermain dalam perlawanan terakhir liga musim lalu menentang Terengganu. Selepas kecederaan, kini saya lebih teruja apabila PKNP di naikkan ke Liga Super," ujarnya.

Dalam Liga Super nanti, Hafiz sedar persaingan pasti akan lebih sengit. Oleh itu, dia menggesa rakan sepasukan mempamerkan kebolehan sebagai sebuah pasukan.

"Sebagai pasukan baru, saya mahu mencipta sejarah bersama PKNP dalam Liga Super. Saya yakin dengan kerjasama dan keserasian yang ada, PKNP mampu menggerunkan pasukan lain," tambahnya.