Hafiz harap kekal bersama Perak

Oleh Azizan Hashim 5 November 2018 4505
Hafiz harap kekal bersama Perak

Selepas berehat selama satu musim, Hafiz Kamal berharap masih mendapat tempat dalam pasukan  juara Piala Malaysia, Perak, bagi menghadapi kancah Liga M 2019.

Menyedari pasukan The Bos Gaurus itu sudah lengkap apabila berjaya muncul naib juara Liga Super, diikuti kejayaan memenangi trofi unggul, Piala Malaysia, tanpa khidmatnya, Hafiz bagaimanapun yakin dia masih mampu memberi sumbangan bermakna kepada Perak.

Tambahan pula Perak akan menghadapi kempen Kejohanan AFC yang bererti pasukan Yob memerlukan khidmat ramai pemain untuk digilir-gilirkan.

"Perak akan memerlukan tenaga ramai pemain untuk menghadapi kejohanan domestik dan AFC.

"Saya berharap mereka akan kekalkan saya kerana saya tidak mahu terlepas peluang beraksi di peringkat tinggi," katanya.

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Pantai Remis itu berkata dia sudah pulih daripada kecederaan 
'posterior cruciate ligament' (PCL), iaitu koyak ligamen di belakang lututnya yang dialami pada September 2017 ketika membuat persiapan untuk pertemuan suku akhir Piala Malaysia bertemu Pahang.

Hafiz mengakui kakinya ' menggeletek' melihat rakan sepasukan beraksi dalam final Piala Malaysia bertemu Terengganu di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu.

"Memang saya teringin sangat beraksi dalam perlawanan itu tetapi apakan daya saya tiada upaya. Apapun saya tumpang gembira dengan kejayaan pasukan," ujarnya.

Menurut pakar sepakan percuma dan sepakan sudut itu, dia sedang berusaha mengembalikan kemampuan dan kecergadannya ke tahap tertinggi untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan Perak.

"Persaingan pasti sengit untuk mendapat kembali tempat serta memenangi keyakinan jurulatih tetapi ia lumrah dalam kerjaya sebagai seorang pemain bola sepak profesional," tambahnya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen