Bekas kapten Felda United, Hadin Azman, bertekad menjadikan cabaran bersama pasukan barunya musim depan sebagai pentas untuk kembali menyinar, terutama bagi menambat hati jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Hadin antara pemain baru yang diberi peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tahun ini.

Mula beraksi menentang Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa September lalu, pemain tengah berkenaan, bagaimanapun, gagal mengekalkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan.

Ia menyaksikan namanya digugurkan selepas aksi kelayakan bertemu Indonesia, sekali gus memadamkan hasratnya untuk meneruskan aksi di peringkat tertinggi walaupun menyerlah dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

"Memang sukar untuk menempatkan diri dalam pasukan kebangsaan ketika ini, ia pasukan terbaik untuk kempen kelayakan Piala Asia 2023.

"Ia persaingan yang sihat, setiap pemain perlu tonjolkan sentuhan yang lebih istimewa untuk pikat Tan Cheng Hoe. Insya-Allah tahun depan saya cuba berikan aksi yang lebih baik dalam usaha memikat hatinya," katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu, bagaimanapun, berahsia mengenai destinasi barunya musim depan apabila meninggalkan The Fighters selepas lima tahun berkhidmat bersama kelab itu.

Namun, difahamkan Hadin akan menyertai juara Piala FA 2019, Kedah, di samping beberapa pemain ternama lain, iaitu Irfan Zakaria, Jafri Firdaus Chew dan penjaga gol, Sharil Saari.

"Saya sudah bersedia (untuk bersaing) kerana sedar ada nama-nama besar di sana.

"Saya cuma perlu berikan yang terbaik untuk dapatkan kepercayaan jurulatih, saya harap dapat bantu pasukan baru pada tahun depan."