Pernah mewakili FC Zurich dan FC Juventus dalam kejohanan peringkat umur bukan tiket jaminan buat Kevin Shiak Kin Gunter untuk dipilih menyarung jersi Bujang Senang pada musim ini.

Bagi pengendali baharu Sarawak, Ian Andrew Gillan, segala-galanya bergantung kepada kemampuan, kemahiran dan persefahaman yang mampu ditunjukkan oleh pemain kelahiran Zurich, Switzerland itu.

Namun jika dipilih, Gunter, 25, hampir pasti tidak didaftarkan sebagai pemain import kerana dia sebenarnya pemegang pasport Malaysia, dan ibunya berketurunan Orang Ulu dari Belaga, Sarawak.

Menurut sumber, Gunter telah berada di Kuching sejak beberapa minggu lalu bagi mencuba nasib dengan pasukan muda Sarawak, yang kini menjadi penghuni baharu Liga Perdana.

"Sejak hari pertama latihan lagi, dia telah berada di sini. Penilaian kini sedang dilakukan oleh Gillan.

"Jika terpilih, dia merupakan pemain naturalisasi kedua Sarawak selepas Bonai atau Rodney Calvin yang mempunyai darah kacukan Ghana-Sarawak," katanya.

Ketika ini, kata sumber terbabit, seramai 30 pemain, termasuk satu pertiga pemain baru telah menjalani latihan pra-musim sebelum pemilihan akhir oleh Gillan, yang dijangkakan sebelum Krismas.

Gunter pernah bersama-sama FC Zurich pada tahun 2004/2005 sebelum menyertai SC Young Fellow Juventus (2005/2006) dan FC Wiedikon, Zurich (2006-2015).

Gunter kemudian menyertai sesi pemilihan Johor Darul Ta'azim (JDT) pada Julai 2015, namun disunting Negeri Sembilan pada Ogos 2015 untuk beraksi dalam Liga Perdana 2016.

Dia kemudian menyertai UiTM FC pada pertengahan tahun lalu sebelum menghadiri sesi pemilihan bersama Sarawak.