Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, tidak menolak kemungkinan penyerang, Gabriel Guerra, kembali ke kelab itu selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan pemain itu tidak bersama mereka musim depan.

Menurut Mahfizul, pengalaman Guerra bersama PKNS pada musim 2015 dan 2016, menjadi tarikan utama buat kelab itu.

JDT hari ini mengumumkan Guerra dan juga Gonzalo Cabrera tidak lagi akan bersama kelab itu musim depan.

Ia sekaligus menimbukan kemungkinan buat Guerra bakal kembali ke PKNS.

"Sekiranya Guerra sedia untuk berbincang, PKNS berminat untuk mendapatkan khidmatnya semula. Dia merupakan seorang pemain yang berkualiti dan sangat diperlukan PKNS," kata Mahfizul.

Sementara itu, Mahfizul turut mengesahkan tiga lagi pemain, Nurridzuan Abu Hassan, Faidzat Ghazali dan K. Ruben sudah menandatangani perjanjian persefahaman menyertai PKNS.

PKNS tampak memberi tumpuan kepada pemain bawah 24 tahun untuk saingan Liga Super musim depan.

"Ini merupakan perancangan jangka masa panjang buat pasukan. Kami berasakan kredibiliti yang dimiliki pengendali yang bakal dilantik tidak lama lagi akan membantu dalam menyusun hala tuju pasukan," katanya.

PKNS FC dijangka mengumumkan bekas pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, sebagai pengendali baru pada 22 November ini.

Kredit: FB Johor Southern Tigers