Pemain sayap Pahang, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra, berkongsi kegembiraannya untuk menyambut Ramadhan buat kali pertama sebagai "saudara baru" dalam Islam dengan memilih pendekatan bersederhana bersama isteri tercinta.

Gopi Rizqi memeluk Islam pada tanggal 9 Oktober lalu sebelum mengikat tali perkahwinan bersama isterinya.

Menerusi satu perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain berusia 31 tahun itu berkata: "Saya teruja kerana ia kali pertama saya berpuasa. Sebelum ini, saya hanya melihat rakan-rakan berpuasa sahaja.

"Awal-awal ini mungkin susah untuk menahan lapar dan dahaga tetapi lama-kelamaan pasti OK."

Ditanya mengenai rutin berniat dan bangun sahur yang perlu dilaluinya sepanjang Ramadan ini, dia menambah: "Isteri selalu membantu saya untuk solat subuh, jadi ia mungkin tidak menjadi masalah.

"Dia juga mengajar saya untuk menghafal niat berpuasa.

"Persediaan untuk berpuasa ini biasa sahaja kerana tidak bolah keluar (rumah) sangat sebab PKP (perintah kawalan pergerakan).

"Saya hanya bersedia secara mental dan fizikal sahajalah.

"Selama ni saya lihat orang ke bazar Ramadan untuk beli banyak makanan, jadi saya teringin jugalah.

"Sama juga dengan Solat Tarawih tapi belum ada rezeki lagi tahun ini," katanya lagi.