Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, menerima hakikat kelab India, Bengaluru FC, adalah pasukan yang lebih baik selepas tersingkir di peringkat separuh akhir, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFC.

Turun tanpa dua tonggak utama, Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz, jentera serangan JDT jelas tempang.

Menurut Gomez, kesempatan itu dimanfaatkan oleh Bengaluru yang menguasai sebahagian besar permainan.

Biarpun mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-11, kesilapan di bahagian pertahanan membawa padah kepada JDT.

"Ia perlawanan yang sangat sukar. Kami mendahului dengan satu gol, namun selepas beberapa kesilapan yang dilakukan, kami tewas 3-1.

"Saya tidak mahu memberi alasan, saya mengucapkan semoga Bengaluru berjaya dalam perlawanan akhir," kata Gomez.

Ketua jurulatih Bengaluru, Albert Roca, bagaikan tidak percaya bahawa pasukannya mampu mencipta sejarah selaku kelab India pertama mara ke final Piala AFC.

Dia kagum melihat semangat pemain-pemainnya walaupun ramai yang melabel JDT selaku pilihan untuk sekali lagi melangkah ke final.

"Ia detik bersejarah bagi bola sepak India.

"Mereka perlu menikmati saat ini. Bukan sahaja peminat Bengaluru tetapi juga seluruh India," kata Roca.

Bengaluru mara ke perlawanan akhir Piala AFC dengan menumpaskan JDT melalui agregat 4-2, selepas menang 3-1 pada pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Sree Kanteerava malam tadi.