Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mencari pengganti Mario Gomez! Ia kedengaran agak mengejutkan, tetapi itulah hakikatnya apabila jurulatih dari Argentina itu bukan lagi dalam perancangan badan induk itu apabila tiada persetujuan dapat dicapai antara kedua-dua pihak.

Drama membabitkan status Mario Gomez selaku pengendali skuad kebangsaan sampai ke penghujungnya apabila FAM membuat keputusan tidak lagi berminat untuk melantiknya sebagai jurulatih.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Eksekutif Pertama FAM di Kota Kinabalu. Sabah, pada hari ini selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai presiden.

"Dia ada dia punya permintaan, dan saya ada saya punya prinsip.

"Saya perlu menjaga keutamaan, iaitu aset pasukan kebangsaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia.

"Dengan tiada persetujuan dapat dicapai di antara saya dan dia, oleh itu dia tidak (bukan lagi calon)," ujar beliau.

Sementara itu, FAM hanya menanti keputusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tentang pelepasan Tan Cheng Hoe untuk menerima tawaran sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

"(Terpulang) bila Kedah akan melepaskannya dan bila dia nak datang,

"Kami telah menyenaraikan beberapa nama calon jurulatih yang berminat dan sudah jelas namanya juga ada.

"Ketika ini, dia adalah jurulatih tempatan terbaik negara.

"Saya berasakan, ia terpulang kepadanya dan Kedah, bukan kami."