Kesilapan pemain yang belum dapat menyesuaikan diri selepas rehat meranapkan kelebihan dua gol Kedah apabila tewas 4-2 di tangan Sarawak dalam Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, semalam.

Jurulatih skuad Lang Merah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, mengkui kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh pasukan tuan rumah bukan sahaja menjaringkan gol pertama, malah memperoleh gol penyamaan.

"Gol penyamaan dalam tempoh 12 minit itu adalah permulaan detik pemain saya hilang punca dan fokus. Keadaan lebih teruk selepas itu apabila kami kehilangan perancang utama, Baddrol Bakhtiar (kad merah).

"Dengan hanya berbaki 10 pemain, sukar untuk kami kejar balik, apatah lagi ketika Sarawak diserapi semangat juang yang luar biasa."

Tambah Nidzam, tatkala Baddrol melangkah ke luar padang, pasukannya kehilangan pula khidmat Mohd Syazwan Zainon yang mengalami kecederaan.

"Ini menyebabkan kami tidak cukup kekuatan dan tidak mampu untuk bersaing. Masa pula terlalu singkat untuk mengejar."

Katanya, hakikat pahit itu terpaksa ditelan, namun dia berharap situasi seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

"Kekuatan kami adalah bermain sebagai satu pasukan. Dalam 45 minit pertama malam tadi, semua pemain baik tonggak import mahupun tempatan beraksi dengan baik sehinggalah wisel separuh masa kedua dibunyikan."

Tumpuan kini, katanya, lebih terarah kepada perlawanan menentang Felda United dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia.

"Kami perlu segera lupakan episod kekalahan ini. Kami perlu segera bangkit dan lakukan persiapan rapi. Cuma yang agak membimbangkan saya ialah enam pemain kami yang telah dipanggil menyertai kem kebangsaan.

"Mereka mempunyai dua sesi latihan bersama skuad kebangsaan sebelum beraksi untuk kami dalam separuh akhir nanti," katanya.