Pemain tengah Pulau Pinang, Faiz Subri, tercalon untuk Anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selepas mencipta gol sepakan percuma menakjubkan dari jarak 32 meter dalam aksi Liga Super 2016 ketika bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, 16 Februari lalu.

Anugerah Puskas merupakan pengiktirafan buat gol tercantik yang dijaringkan sepanjang 2016 dan Faiz muncul pemain pertama dari Malaysia yang tersenarai.

Gol lencongan menarik itu boleh diundi menerusi pautan http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ untuk membolehkan Faiz terpilih antara tiga calon yang disenarai pendek yang akan diumumkan pada 2 Disember depan.

Selain Faiz, bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar, adalah antara calon bagi merebut anugerah tersebut.

Senarai calon-calon Anugerah Puskas FIFA 2016:

- Mario Gaspar (SPA): Sepanyol menentang England, aksi perlawanan antarabangsa

- Hlompho Kekana (RSA): Cameroon menentang Afrika Selatan, kelayakan Piala Afrika

- Marlone (BRA): Corinthians menentang Cobresal, Copa Libertadores

- Lionel Messi (ARG): Amerika Syarikat menentang Argentina, Copa America Centenario

- Neymar (BRA): Barcelona menentang Villarreal, La Liga

- Saul Niguez (SPA): Atletico Madrid menentang Bayern Munich, Liga Juara-Juara

- Hal Robson-Kanu (WAL): Wales menentang Belgium, Euro 2016

- Daniuska Rodriguez (VEN): Venezuela menentang Colombia, Kejohanan Wanita Bawah 17 Tahun Amerika Selatan

- Simon Skrabb (FIN): Gefle menentang Atvidaberg, Allsvenskan

- Mohd Faiz Subri (MAS): Pulau Pinang menentang Pahang, Liga Super Malaysia