Gnabouyou tidak sabar kembali meledak gol untuk Tambadau

Oleh Willie Jude 6 Jun 2020 357
Gnabouyou tidak sabar kembali meledak gol untuk Tambadau
Penyerang import Sabah, Guy Gnabouyou, mengakui sudah tidak sabar untuk beraksi dan kembali meledak gol buat pasukannya itu.

Gnabouyou dibawa masuk ke dalam skuad Tambadau bagi menggantikan Hector Omar Ramos pada awal musim dan telah menjaringkan satu gol daripada dua perlawanan.

"Saya sangat gembira kerana berjaya menjaringkan gol sulung dalam aksi kedua saya bertemu Perak, tetapi sasaran saya untuk terus menghasilkan gol terhenti selepas itu berikutan wabak COVID-19 hingga liga terpaksa dihentikan.

"Sasaran saya sebagai penyerang sudah pasti mahu menjaringkan gol yang banyak buat pasukan selain meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan.

"Dalam aksi bertemu Perak lalu, saya akui masih boleh beraksi lebih baik daripada itu, saya tidak sabar untuk kembali ke padang dan menjaringkan gol buat Sabah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pemain berusia 30 tahun berasal dari Perancis itu berkata kehidupan tanpa bola sepak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan memang agak sukar baginya. 

"Secara jujurnya, ia agak sukar apabila semuanya terhenti dan hanya berada di dalam rumah tanpa latihan, tanpa berjumpa dengan rakan sepasukan dan tanpa bola sepak.

"Bagaimanapun, kini ia lebih baik selepas PKP dilonggarkan, kedai mula dibuka dan kami sebagai pemain juga mempunyai ruang yang lebih luas untuk menjalani latihan individu.

"Tidak sabar rasanya dapat kembali semula ke padang dan saya juga harap keadaan akan menjadi lebih baik selepas ini dan kita boleh kembali menikmati bola sepak," katanya.

Dalam pada itu, penyerang itu dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri di negera berkenaan.

"Semuanya bagus setakat ini, pegawai dan pemain begitu baik dengan saya dan mereka banyak bercakap lalu membuatkan kehadiran saya disini terasa sangat dialu-alukan.

"Begitu cepat sekali saya berasa telah menjadi sebahagian daripada pasukan dan keadaan ini sesuatu yang baik buat saya," katanya.

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen