Penyerang import Selangor, Rufino Segovia, optimis tempoh seminggu lagi mampu membawanya dan rakan sepasukannya mencapai tahap kecergasan terbaik menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) tidak lama lagi.

Dia mengakui tahun yang mencabar selepas tiga bulan berlatih bersendirian dengan kekangan yang dihadapi susulan penularan pandemik COVID- 19 dalam perkongsiannya bersama wakil Nadi Arena, Haliza Hamzah, petang tadi.

Bahkan, ada antara mereka yang tidak kisah untuk melakukan inisiatif sendiri bagi mencapai matlamat itu.

Penyerang kelahiran Sepanyol itu berasakan peningkatan yang baik ditonjolkan rakan sepasukan setelah hampir dua minggu turun padang, sekali gus bersemangat mengharungi baki perlawanan saingan Liga Super.

"Tahap kecergasan kami hampir sama ketika ini.

"Sudah tentu akibat penularan COVID-19, kami perlu duduk di rumah dan tidak banyak yang boleh dilakukan.

"Tetapi kecergasan kami semakin meningkat, saya percaya kami memerlukan tempoh seminggu lagi untuk mencapai tahap tertinggi," katanya.

Dalam pada itu penjaga gol, Khairul Azhan Mohd Khalid, pula mendedahkan bahawa banyak masanya diluangkan dengan menjalani latihan sendiri di gimnasium berikutan tempoh 45 minit di padang sebagai sesi yang singkat.

"Ia atas diri masing-masing, ada yang cukup dan tidak untuk tempoh latihan selama 45 minit.

"Mungkin kami boleh buat latihan tambahan di rumah termasuk gimnasium dan tempat rekreasi," katanya.