Penggempur terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, nyata gembira dan berbangga apabila mengenggam anugerah itu, malam tadi.

"Ini satu kepuasan. Saya berasa sangat seronok dan bangga atas prestasi diri.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PKNP FC, terutama rakan sepasukan, jurulatih dan pengurusan kerana memberi kepercayaan penuh kepada saya sebagai ketua pasukan dan menjaga saya dengan baik.

"Turut tidak dilupakan, ibu dan ayah saya serta keluarga yang selama ini tidak jemu menyokong saya," ujarnya.

Shahrel juga menganggap pengiktirafan itu sebagai pendorong untuk dirinya lebih bersedia dan matang dalam sukan bola sepak.

"Pada musim hadapan, saya kena tingkatkan lagi apa yang saya ada. Tidak kira saya akan bersama pasukan mana, saya berjanji akan mempamerkan prestasi terbaik," katanya lagi.

Sepanjang musim lalu, Shahrel cemerlang membantu PKNP dengan menjaringkan 11 gol dalam kempen Liga Perdana, seterusnya menjadi karakter penting membawa kelab itu ke peringkat suku akhir Piala FA dengan tiga gol dan Piala Malaysia, enam gol.

Kredit imej: PKNP FC