Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) berharap Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dapat memastikan setiap pasukan yang disahkan beraksi untuk saingan Liga Malaysia musim depan sudah menyelesaikan segala gaji tertunggak pemain sebelum musim baru bermula.

Menurut Timbalan Presiden PFAM, Reezal Zambry Yahya, pasukan seperti Kuantan FA masih mempunyai tunggakan gaji pemainnya yang belum lagi diselesaikan.

Kerisauan utama PFAM adalah kebajikan pemain jika kelab yang mempunyai sejarah tunggakan gaji pemain dibenarkan beraksi.

"Perkara yang paling penting buat PFAM adalah kebajikan pemain mengenai gaji perlu dilunaskan mengikut dalam kontrak yang telah ditandatangani," kata Reezal.

Sebelum ini, FMLLP memberikan tempoh buat Kuantan FA hingga esok untuk memberi kata putus sama ada akan beraksi atau tidak musim depan.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, turut berasakan FMLLP dan FAM juga wajar mempertimbangkan pasukan yang mempunyai dana kewangan kukuh untuk beraksi dalam saingan Liga M.

"Apabila kelonggaran dalam peraturan bagi membenarkan pasukan beraksi dalam saingan liga, ia akan menambah lebih masalah daripada kebaikan," katanya.