Format gelembung sukan sukar dilaksanakan Liga-M 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Januari 2021 510
Format gelembung sukan sukar dilaksanakan Liga-M 
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Abd Hassan, menganggap cadangan untuk menganjurkan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 dengan pakai format gelembung sukan adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Cadangan itu wujud tatkala melihatkan format sama diguna pakai oleh beberapa kejohanan tempatan tahun lalu.

Setakat ini cadangan Liga Super dan Liga Perdana untuk dilaksanakan dalam format gelembung sukan adalah sukar atas beberapa faktor, antaranya jadual penuh liga akan membabitkan pertemuan di laman sendiri dan lawan berbanding musim lalu, Liga-M hanya sempat dilaksanakan satu pusingan dengan membabitkan 11 perlawanan sahaja.

"Mustahil untuk kami mengadakan perlawanan liga dalam bentuk gelembung sukan kerana pasukan-pasukan perlu bermain di tempat sendiri dan lawan.

"Semua pasukan akan berjumpa antara satu sama lain (berbanding) format kejohanan boleh dibuat dalam bentuk kumpulan.

"Ini menyukarkan pasukan-pasukan, malah penganjur," katanya ketika ditemu bual maya oleh wakil Astro Arena, Adam Zamri, hari ini.




Penganjur liga itu difahamkan sedang berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperincikan prosedur standard operasi (SOP) yang lebih ketat bagi memastikan tiada kes melibatkan pemain mahupun pegawai bola sepak tempatan menjelang sepak mula liga, 5 Mac depan.

"MFL telah menetapkan SOP ketat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pasukan Liga Malaysia. 

"Itu tidak dapat dinafikan malah berjaya apabila tiada kes positif dalam musim 2020. 

"Sudah tentu musim ini SOP akan diperketatkan tetapi terpulang kepada MKN untuk menerima SOP. MFL masih di peringkat rundingan bersama MKN dan KBS untuk memastikan SOP yang dikenakan itu berpatutan dan tidak mendatangkan masalah besar kepada pasukan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen