Ketua Pegawai Eksekutif, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mahu kuasa mutlak daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara teknikal Liga Malaysia (Liga M) bagi mengelak berlaku sebarang konflik setelah Pahang diberi kemenangan percuma hari ini.

Berbaki satu perlawanan Liga Super, Pahang yang berdepan misi hidup mati untuk aksi terakhir, mendapat khabar gembira.

Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan skuad Tok Gajah diberikan tiga mata serta kemenangan percuma 3-0 bagi perlawanan menentang Kedah di Alor Setar, 3 Ogos lalu.

Ia susulan pasukan Kedah didapati bersalah kerana menurunkan pemain yang digantung perlawanan dalam pertemuan itu, iaitu pemain pertahanan, Rizal Ghazali.

Namun, kelewatan jawatankuasa berkenaan dalam memutuskan perkara berkenaan menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak, terutama peminat.

Kevin mengakui ia sebenarnya mampu dikawal lebih baik jika tanggungjawab itu diberikan kepada FMLLP selaku badan yang menguruskan perjalanan Liga M.

"Isu-isu penggantungan, terutama sekali melibatkan operasi (Liga M) seperti soal disiplin dan mungkin pergaduhan yang perlu ditangani, ia terserah kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"Tapi FAM juga perlu memberi ruang kepada kami untuk menguruskan operasi seperti kutipan kad (kuning atau merah).

"Ini boleh dijadikan sebagai penambahbaikan penganjuran (Liga Malaysia)," jelas Kevin.

Apa yang pasti, keputusan itu secara tidak langsung menyelamatkan Pahang daripada penyingkiran daripada Liga Super menjelang pertemuan menentang T-Team di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Dalam masa sama, jurulatih Pahang, Razip Ismail, menghela nafas lega kerana keputusan itu mengurangkan tekanan ke atas pasukannya.

"Ini satu berita gembira dan melegakan kem pasukan Pahang kerana kami diberi tiga mata, seterusnya terselamat daripada zon penyingkiran dan kekal berada dalam saingan Liga Super untuk musim akan datang.

"Saya tak menduga ini akan berlaku kerana kami sedang mempersiapkan diri untuk perlawanan terakhir di mana kami memerlukan tiga mata lagi untuk kekal dalam Liga Super," jelas beliau.

Pengurus Kedah. Datuk Jefrey Ong, pula menegaskan skuad Helang Merah sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu mengenai situasi pemain yang telah mengumpul kad kuning dengan berkata, "Kami terlepas pandang. Begitu juga pegawai perlawanan, mereka patut beritahu kami.

"Kami telah memasukkan Rizal Ghazali tanpa menyedarinya. Selepas tamat perlawanan, barulah kami menyedarinya."

Dengan itu, Pahang kini menduduki tangga kelapan dan mengelak zon penyingkiran menjelang aksi terakhir saingan Liga Super 2016, Sabtu ini.