Ketua Pegawai Eksekutif, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, memberi jaminan bahawa tiada kompromi dalam memastikan setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) lulus syarat pelesenan kelab pada 2017.

Syarat pelesenan kelab diperkenalkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke atas semua kelab di negara yang menjadi ahli gabungannya pada 2014.

Di Malaysia, ia mula dibincangkan pada 2015 dan FMLLP selaku badan pentadbir Liga M, meletakkan sasaran 2018 sebagai musim di mana kesemua pasukan wajib lulus syarat pelesenan kelab.

Musim 2017 akan menjadi musim di mana FMLLP menilai setiap pasukan, sama ada mereka lulus atau tidak syarat pelesenan kelab dalam usaha turut menswastakan pengurusan setiap pasukan.

"Sungguhpun beberapa pasukan berdepan dengan masalah kewangan, namun kami tidak boleh mengetepikan pelesenan dan mengabaikan peraturan itu hanya kerana kami mahu membantu beberapa pasukan.

"Pelesenan kelab akan menjadi tunjang kepada masa depan dan kemajuan bola sepak Malaysia," ujarnya.

Antara syarat pelesenan kelab adalah setiap pasukan perlu mempunyai kewangan kukuh serta pelan pemasaran bagi menjana pendapatan, pengurusan profesional dan juga tidak lagi bergantung kepada subsidi kerajaan atau penaja utama sebagai sumber utama pendapatan.

"Kami sedang berusaha untuk memastikan tiada entiti yang akan menguasai kewangan sesebuah pasukan melebihi 60 peratus.

"Peraturan 60 peratus pegangan ini akan memastikan kelab perlu menjana 40 peratus sumber pendapatan luar dan tidak bergantung kepada satu sumber sahaja."