Kata putus sama ada Felda United akan kekal dalam Liga Super atau sebaliknya bakal ditentukan oleh lembaga pengarah badan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), esok.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, pihaknya kini mengambil kira segala faktor sebelum memutuskan kedudukan pasukan itu.

Dia mengesahkan Felda sudah menghantar penyata kewangan yang lengkap, namun melewati tarikh akhir yang ditetapkan FMLLP, iaitu Oktober lalu, dan badan rayuan FMLLP turut menolak rayuan Felda sebelum ini.

Jika Felda diturunkan ke Liga Perdana, ia akan menjadi pasukan Liga Super pertama yang diturunkan kerana gagal lulus syarat pelesenan kelab.

"Bagi kami, Felda adalah komponen besar dalam masa depan bola sepak kita. Tetapi peraturan adalah peraturan.

"Kami akan berbincang dan melihat kepada situasi dalam semua aspek. Oleh sebab itu, keputusan ditangguhkan. Ia sangat serius. Ia adalah situasi 'kalah kalah'," katanya.

Dalam pada itu, Kevin percaya Felcra FC mampu memenuhi syarat untuk menggantikan tempat Sime Darby FC dalam saingan Liga Perdana.

Tambahnya, Felcra pada dasarnya sudah bersetuju ke Liga Perdana, namun perlu mengemukakan belanjawan kepada pengurusan tertingginya terlebih dulu.

"Mereka nampak serius dalam beberapa tahun ini. Saya rasa ia satu pasukan yang akan membuat pelaburan dalam akar umbi. Saya harap mereka memberi manfaat kepada bola sepak untuk jangka masa panjang," tambahnya.

Felda United

Ditubuhkan: 2007
Gelaran: The Fighters
Gelanggang: Stadium Tun Abdul Razak, Jengka

Pencapaian Terbaik :
• Juara Liga Perdana 2010
• Naib Juara Liga Super 2016
• Naib Juara Liga Perdana 2014
• Naib Juara Piala FA 2014