Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah melanjutkan tarikh jendela perpindahan pemain pertama sehingga 5 Mac 2021 untuk Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, FIFA telah menghantar surat pemakluman itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini di mana perkhabaran itu mampu memberikan suntikan moral kepada pasukan-pasukan untuk membuat persiapan lebih rapi selepas pihak kerajaan membenarkan semua pasukan menjalani program latihan bermula 15 Februari 2021.

Kata lagi Dato’ Ab Ghani, MFL memohon tarikh lanjutan jendela perpindahan pemain pertama di atas faktor-faktor terdapat permohonan daripada pasukan yang hadapi masalah dengan pemain asing dan tempatan selain berkaitan dengan persiapan pasukan dalam tempoh PKP.

“Hari ini MFL telah menerima surat daripada FIFA yang telah melanjutkan tarikh baharu tempoh perpindahan pemain iaitu bermula 21 November 2020 sehingga 5 Mac 2021.

“FIFA telah dimaklumkan bahawa pasukan dalam Liga Malaysia dibenarkan mula berlatih melalui program latihan berpusat bermula 15 Februari 2021 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, FIFA berpuashati dengan penjelasan MFL untuk memohon lanjutan tarikh jendela perpindahan pemain sehingga 5 Mac 2021 di mana pasukan-pasukan kini memiliki masa untuk mengintai pemain-pemain baharu untuk skuad mereka,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Sebagai rekod, tarikh jendela perpindahan pemain pertama Liga Malaysia sebelum ini bermula pada 21 November 2020 sehingga 12 Februari 2021 dilanjutkan kepada 19 Februari 2021 selepas mendapat kebenaran FIFA.

Kredit: MFL