FIFA buka jalan untuk Sumareh ke Police Tero

Oleh Shaiful Shamsudin 9 September 2020 13895
FIFA buka jalan untuk Sumareh ke Police Tero
Pahang mungkin terpaksa merelakan perpindahan Mohamadou Sumareh, tetapi pemain naturalisasi negara kelahiran Gambia itu belum tentu terlepas daripada sebarang hukuman.

Pemain itu dituduh sebagai tidak mengenang budi oleh Persatuan  Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) selepas meninggalkan pasukan bimbingan Dollah Salleh berkenaan biarpun masih mempunyai baki kontrak setahun lagi apabila sah akan memperkuatkan kelab liga utama Thailand, Police Tero FC, bagi saingan musim baru yang akan membuka tirai hujung minggu ini. 

Gaji tertunggak menjadi punca pemain itu meninggalkan Tok Gajah di pertengahan musim ini. 

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menjelaskan FAM tidak dapat meluluskan permohonan daripada Persatuan Bolasepak (FA) Thailand, tetapi perpindahan itu masih lagi dibenarkan kerana campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). 

"FAM telah menolak permintaan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) itu tetapi FA Thailand boleh mengaju dan meminta campur tangan FIFA.

"Di sini (ketika ini), permintaan FA Thailand kepada FIFA telah diluluskan dan pemain, Sumareh, telah menerima ITC sementara," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Wisma FAM, Petaling Jaya hari ini. 

Begitupun, ia tidak menyekat PBNP untuk mengambil tindakan perundangan ke atas bekas pemain PDRM, ATM dan Perlis itu yang didakwa tidak hadir ke sesi latihan sejak Julai lalu. 

"(Bagaimanapun), ia tidak menghentikan isu-isu yang berbangkit di peringkat domestik. 

"Mengikut artikel 22 (FAM), Pahang masih boleh mengambil ke atas pemain itu, begitu juga dengan pemain -- jika (perkara ini) berlaku. 

"Dalam kes ini, walaupun ITC dapat dilaksana (diperoleh) tetapi daripada sudut perundangan, Pahang masih boleh mengambil tindakan. 

"Proses itu tidak akan menghentikan (menyekat) perpindahan tersebut, tetapi apa jua keputusan daripada FAM atau FIFA, ia dilihat (menjurus) kepada hukuman seperti denda dan penggantungan -- bermacam-macam boleh berlaku. 

"Terlalu awal untuk mengulas isu ini kerana kes ini pun belum sampai ke (pengetahuan) FIFA dan kami sendiri belum mendapat penjelasan daripada kedua-dua pihak."

Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, menegaskan badan induk itu sudah bersedia mengheret kes itu ke peringkat seterusnya selepas mendapatkan nasihat guaman. 

"Apa sahaja dakwaannya (Sumareh), biarlah diuruskan oleh peguam yang telah dilantik PBNP. 

"Mereka (peguam) kata ada kes yang kuat (memihak kepada kami) terhadap Sumareh menerusi fakta-fakta yang ada. 

"Biarlah fakta sebenar kes Sumareh ini dicari oleh pihak peguam dan biar mereka menelitinya, baik di pihak PBNP mahupun Sumareh. 

"Pada hari ini, mereka mengesahkan memang ada kes ke atas Sumareh dan kami serahkan kepada pihak atasan seperti FAM," katanya ketika dihubungi. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen