Pengendali Felda United, Azmi Mohamed, mengesahkan penjaring terbanyak pasukan itu musim ini, Francis Forkey Doe tidak akan bersama The Fighters untuk musim 2017.

Penyerang Liberia itu meraih 15 gol dalam saingan Liga Super musim ini, namun ia tampak masih tidak mencukupi bagi meyakinkan Azmi untuk terus mengekalkan pemain itu dalam barisan baru Felda.

Azmi akan memantau calon import baru bagi menggantikan tempat Doe untuk saingan musim 2017.

"Prestasi dia (Forkey Doe) memang bagus tetapi dia tidak boleh kekal konsisten untuk satu musim.

"Jadi, kami sedang melihat untuk mencari pemain yang lebih konsisten, maka kami rasa akan membuat pertukaran.

"Dari situ, kami akan melihat pemain-pemain yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam skuad Felda," katanya.

Azmi akan turut memantau tahap kecergasan awang import Felda United yang lain sebelum menentukan empat pemain import Felda bagi musim hadapan.

Dalam pada itu, Azmi sedia menyahut cabaran selaku pengendali Felda musim ini waaupun pihak pengurusan sudah menetapkan sasaran satu piala musim ini yang turut menyaksikan penglibatan kelab itu dalam Piala AFC.

"Saya sudah bersedia untuk menerima apa sahaja risiko dan tanggungjawab yang diletakkan kepada saya oleh 54pengurusan Felda.

"Apa yang saya perlu lihat adalah kesungguhan dan komitmen pemain untuk mencapai sasaran yang ditetapkan."