Felda tetap bukan pilihan -- Nidzam

Oleh Staff Writer 22 Januari 2020 212
Felda tetap bukan pilihan -- Nidzam
Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, tetap menganggap The Fighters sebagai pasukan bukan pilihan dalam saingan Liga Super 2020 biarpun anak buahnya melaungkan amaran awal menerusi kejayaan aksi pramusim di Indonesia minggu lalu.

Felda melakar kejutan apabila muncul juara Piala Edy Rahmayadi selepas menewaskan kelab Kemboja, Boeung Ket FC, 1-0 dalam perlawanan akhir di Medan, Sabtu lalu.

Gol tunggal bekas penyerang import Negeri Sembilan, Nicolas Velez, sudah cukup untuk memastikan The Fighters membawa pulang trofi kejuaraan, sekali gus ia dilihat sebagai amaran awal kepada pasukan lain bagi musim 2020.

"Kami masih anggap diri sendiri sebagai bukan pilihan. Kami tidak kata ini adalah amaran. Saya boleh katakan ini adalah persiapan kami dan ia bagus untuk motivasi pasukan. Kemenangan ini tidak menetapkan sebarang sasaran dalam Liga Super," kata Nidzam.

Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, Felda menewaskan tuan rumah, PSMS Medan, 2-1 hasil jaringan Velez dan Akhmar Haiqal Azhar.

Mengulas mengenai keupayaan Velez untuk menyerlah walaupun baru sebulan bersama The Fighters, Nidzam berkata: "Saya gembira dengan aksinya, menjaringkan dua gol, beraksi dalam dua perlawanan. Pemain lain juga beraksi dengan baik."



Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen