Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, meminta Felda United mengemukakan afidavit rasmi terhadap Rizal Ghazali yang didakwa telah menurunkan tandatangan dengan pasukan itu sebelum membuat keputusan kekal bersama Kedah.

Aziz mengesahkan Felda ada menghantar aduan rasmi kepada pihaknya mengenai status Rizal yang telah menandatangani kontrak bersama pasukan itu.

Namun, dia menegaskan ia masih tidak mencukupi, sebaliknya menuntut pengurusan Felda menghantar bukti bertulis serta borang C06, iaitu perjanjian penamatan kontrak bersama, yang seharusnya dikeluarkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Saya difahamkan (Felda) ada hantar surat tetapi bukan berbentuk afidavit. Cuma, satu surat rasmi mengatakan mereka menandatangani kontrak dengan Rizal.

"Tetapi kami perlukan satu afidavit yang lengkap untuk kami bincangkan kes ini, maknanya pasukan lama perlu menjawab. Barulah, kami pertimbangkan mana yang betul," kata Aziz.

Beliau berharap Felda mampu segera menghantar afidavit secepat mungkin tanpa perlu menunggu tarikh tutup pendaftaran pemain, 22 Januari depan.

Aziz mengakui pihak Jawatankuasa Status Pemain juga memerlukan masa untuk meneliti kes berkenaan sebelum mampu membuat sebarang keputusan.

"Jadi, apabila ada kemelut berlaku dalam setiap pasukan, ia dapat dimajukan dengan kadar segera supaya tiada isu berbangkit di kemudian hari," tambahnya.

Pada 7 Disember lalu, KFA mengesahkan Rizal dan Syazwan Zainon kekal bersama Kedah untuk musim 2017.

Rizal Ghazali

Umur: 24 tahun
Posisi: Pertahanan

Pencapaian bersama Kedah:

• Pemain Terbaik Final Piala Malaysia 2016
• Juara Piala Malaysia 2016
• Tempat ketiga Liga Super 2016
• Naib Juara Piala Malaysia 2015
• Juara Liga Perdana 2015