Pengendali Felda United, B. Sathianathan, mengesahkan The Fighters kini dalam proses rundingan akhir untuk mendapatkan khidmat pertahanan Perak, Thiago Aquino, bagi saingan musim depan.

Buat masa ini, Sathianathan menjelaskan hanya penyerang dari Brazil, Thiago Augusto, mengisi slot pemain import.

Dia masih mengenal pasti dua lagi pemain import sambil mengesahkan Thiago yang juga berasal dari Brazil kini menjadi buruan utama Felda.

Selain itu, dia juga mengesahkan empat pemain tempatan, termasuk bekas pemain Felda, Christie Jayaseelan, sudah berjaya diburu dengan hanya seorang lagi pemain muda masih dalam proses rundingan.

"Kami sedang berbincang dengan Thiago dari Perak tetapi masih belum pasti. Pemain import yang dikekalkan hanya Thiago Augusto dan kini sedang mencari seorang pemain import tengah dan pertahanan.

"Kalau boleh, kami mahu mendapatkan import ASEAN sebagai persediaan," katanya.

Sathianathan enggan memikirkan secara mendalam mengenai status penyertaan Felda dalam Liga Super musim depan gara-gara isu pelesenan.

Dia cuma berharap persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Terhad Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mampu memberikan kelonggaran kepada Felda.

"Terpulanglah kepada mereka tetapi saya meminta jasa baik Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan FMLLP agar diberikan setahun lagi masa untuk kami beraksi dalam Liga Super dan memperbaiki segala kelemahan yang ada pada pengurusan Felda," tambahnya.