Felda United dan PKNS FC boleh dianggap sebagai dua kelab bola sepak yang paling berjaya ketika ini ekoran punyai visi dan misi yang jelas di sebalik kewujudan mereka dalam arena bola sepak negara.

Bermula tanpa penyokong tegar, kini FELDA United dan PKNS FC mula membentuk kumpulan penyokong selain turut melahirkan produk tersendiri.

Felda boleh dilabel sebagai antara kelab paling muda di negara ini kerana baru sahaja ditubuhkan pada 2007.

Walaupun ramai memandang sinis penubuhan Felda United dan berpendapat kewujudan pasukan itu hanya sementara, kelab ini mengorak langkah berani sehingga terbinanya stadium sendiri di Jengka.

Dinamakan Stadium Tun Abdul Razak sempena pengasas Felda, The Fighters semakin meningkat dari musim ke musim bukan sahaja daripada segi pencapaian, bahkan juga pengurusan pasukan yang lebih dinamik.

Menurut Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhamad, selepas 10 tahun mewarnai saingan Liga Malaysia, mereka kini telah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama pasukan-pasukan negeri lain.

"Jika kami tidak serius, kami tidak akan membina stadium yang khusus untuk bola sepak. Ini membuktikan kami benar-benar serius dalam membangunkan bola sepak Malaysia.

"Kami juga memiliki dua pasukan akademi, iaitu Bawah 14 dan Bawah 17 tahun," jelasnya.

Selain itu, Zulkarnain berbangga Felda kini sudah ada pengikut sendiri dan keputusan mereka membina stadium yang menjadi nadi Felda, memberi pulangan berbaloi.

Berdasarkan statistik, Felda kini mempunyai purata kehadiran minimum 4,000 penyokong bagi setiap perlawanan.

"Kami adalah pasukan keempat yang memiliki jumlah kedatangan penonton yang ramai. Statistik itu dikeluarkan sendiri FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia)."

Sementara itu, pasukan kecil yang dianggap memiliki jiwa besar, PKNS, menyimpan sejarah tersendiri kerana di situlah legenda bola sepak tanah air seperti Allahyarham Mokhtar Dahari pernah mencari rezeki.

Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berpendapat biarpun mereka tidak popular dan tiada penyokong yang ramai seperti mana pasukan abang, Selangor, itu tidak melemahkan semangat pihak pengurusan PKNS.

"Kerancakan itu dirasai PKNS sendiri. Walaupun kami tidak menyumbang kepada kemeriahan itu tetapi kami juga sebenarnya adalah satu pasukan yang turut sama membangunkan sukan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan," kata Mahfizul.

Tambahnya, terdapat beberapa perbezaan yang melibatkan pengurusan kelab bola sepak berbanding pasukan negeri dan itu menjadi intipati di sebalik pengukuhan PKNS.

Mahfizul menambah: "Biasanya individu yang mengerakkan pasukan kelab ini terdiri daripada golongan profesional yang melihat sukan bola sepak ini membawa keuntungan terhadap syarikat.

"Jadi secara tidak langsung, senario ini mampu membantu mengubah landskap liga tempatan."