Feichtenbeiner nafi Selangor ada konflik dalaman

Oleh Muzaffar Musa 29 September 2020 1242
Feichtenbeiner nafi Selangor ada konflik dalaman
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner, menafikan dakwaan bekas ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, bahawa pasukan itu sedang menghadapi konflik dalaman.

Sathianathan mendedahkan dalam rancangan [email protected] semalam bahawa dia tidak mendapat sokongan daripada pihak pengurusan sehingga gagal menempatkan pasukan itu di kedudukan terbaik musim ini.

Pengendali berusia 63 tahun itu turut mendedahkan terdapat "orang dalam" FAS yang tidak boleh dipercayai sehingga berlaku kebocoran maklumat sulit.

Bagaimanapun, Feichtenbeiner, yang kini bertindak sebagai jurulatih interim pasukan utama Selangor, menafikan perkara itu sambil menegaskan keadaaan dalam pasukannya kini cukup harmoni dan sedia untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Mereka (pemain) bersikap amat terbuka dengan perkara baru. Setiap jurulatih mempunyai idea tersendiri," katanya kepada Nadi Arena.

"Mereka amat bermotivasi dan memberikan yang terbaik dalam latihan.

"Saya memberitahu mereka selepas perlawanan (menentang UiTM minggu lalu) bahawa kami semua tidak gembira dengan keputusan seri (3-3) kerana kami menjangkakan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Menjelang pertemuan dengan PDRM dalam saingan Liga Super di Stadium KLFA, Sabtu ini, Feichtenbeiner mengakui motivasi pasukannya bukan di tahap terbaik tetapi mereka masih mempunyai kekuatan untuk dipertaruhkan.

Pengendali berbangsa Jerman itu turut mengakui bahawa aksi lincah Selangor dalam babak pertama memakan diri apabila momentum itu mula menurun dalam separuh masa kedua.

"Secara mental, mungkin kami tidak berada di tahap terbaik pada ketika ini kerana sudah terlalu lama kami tidak menang sejak menewaskan Sabah (4 September lalu).

"Tetapi berdasarkan pengalaman, kami jauh lebih baik berbanding PDRM.

"Kapten kami, Taylor Regan, tidak akan beraksi dalam perlawanan itu selepas mengumpulkan tiga kad kuning.

"Pemain lain pula, daripada perlawanan menentang UiTM, saya yakin mereka akan dapat diturunkan bagi perlawanan itu.

"Tetapi pemain sayap kami masih belum pulih daripada kecederaan dan harap-harap dia dapat pulih dalam beberapa hari ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen